TEKS SULUH


Sabtu, 19 Mei 2018

Shah Ri Zan : KEJAM

Shah Ri Zan



KEJAM



Untuk apa dan atas asbab yang bagaimana?

perlu aku memberi laluan

demi kemustahilan cinta

sedangkan kautahu

takkan sesekali aku mengetuk gencar

pintu kota larangan

biarpun kausemaikan

seluruh keabadian rindumu terhadapku

Perlukah?

kaupetik dengan nama mungkar dan kufur perjanjian sumpahmu yang terdahulu

usah sengaja membuka ketertutupan hatiku yang terkunci beku

kurelakan diri menjadi bisu

walaupun aku sedar

kebersendirian dalam persunyian ini

yang dilimpahi getir hidup seusia hayat

merupakan lembah terasing yang lebih aman

berbanding dari mencuba sedaya asa

mendapatkan kebahagiaan

tiada punya restu

daripada Sang Penguasa di puncak langit

Pengharapanmu kepadaku

takkan kusambut di mercu singgahsana cinta

pengembaraan fikir akalmu

terhadap imaginasi kebersamaan kita

hanya akan memerangkap

ke suatu lembah yang paling hina

apa yang diciptakan

terbentuk dari dusta semata-mata

kemuliaan sepasang genggam tangan kekasih pasti akan berakhir

dengan penyesalan tidak bernoktah

Maka biarkan

semuanya berlalu menjadi simfoni

bersenandung dalam keterlukaan ini

bergumam sunyi

TONGKAT SAKTI

Belantara Konkrit

Semenanjung Tanah Melayu

19 Mei 2018